Saturday, July 7, 2007

Adi Putra perlu duduki UPSR, PMR’

PUTRAJAYA: Pelajar pintar matematik, Adi Putra Abdul Ghani, 8 (gambar), perlu menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum boleh menduduki A-Level serta ke peringkat pengajian lebih tinggi lagi.
Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata tiga peperiksaan umum itu yang menjadi prasyarat pencapaian akademik pelajar adalah penanda aras kepada Adi Putra."Bagi saya, itu yang menjadi prasyarat, jika dia tidak menduduki peperiksaan berkenaan dia seperti orang lain yang tidak ada penanda aras."Jika dia benar-benar pintar, hari ini juga dia patut boleh menduduki peperiksaan itu," katanya pada sidang media selepas menghadiri Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-34 Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, semalam.
Hishammuddin berkata demikian ketika mengulas laporan akhbar bahawa Adi Putra kini memilih belajar di rumah dengan bantuan beberapa pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bagi membuat persediaan menduduki A-Level.Laporan menyatakan Adi Putra tidak tahan belajar di Sekolah Islam Antarabangsa Kuala Lumpur selama enam bulan dengan mendakwa dirinya lebih dijadikan sebagai bahan uji kaji.
Sebelum ini, Adi Putra dihantar ke sekolah itu selepas ibu bapanya berasa dia tidak sesuai belajar di sekolah kebangsaan.Hishammuddin berkata, tidak ada kaedah yang boleh memenuhi kehendak semua pelajar pintar, termasuk menyediakan satu kurikulum khas untuk mereka."Inilah sebabnya kadang-kadang permintaan untuk menyediakan satu kurikulum adalah sukar bagi menyediakan tenaga pengajar yang memenuhi keperluan untuk semua pelajar.
“Contohnya Adi Putra, di mana sekolah yang sudah kita kenal pasti pun tidak sesuai, akhirnya balik ke rumah untuk belajar," katanya.
Hishammuddin berkata, perkara itu akan diserahkan kepada pakar kerana apa yang diperlukan bukan sekadar pandai mengira tetapi pendidikan secara menyeluruh.Beliau berkata, menjadi harapan negara untuk melihat Adi Putra sebagai seorang pelajar yang boleh mengisi keperluan pembangunan negara pada masa depan dan bukan untuk dipergunakan.
"Yang penting bagaimana kita asuh mereka supaya kelebihan pada diri mereka (pelajar pintar) dapat ditambah nilai supaya mereka lebih baik berbanding pelajar lain di dunia satu hari nanti,"